Monday, 20 January 2014

Penyanyi wanita bertudung mangsa diskriminasi syarikat hartanah



Selepas kontroversi seorang guru mualaf, Choi Yi Shan, 25, diarahkan untuk membuka tudung semasa mengajar di SJKC Nan Ya, Teluk Sengat, Johor, malam tadi diskriminasi yang sama dikenakan kepada seorang penyanyi yang membuat persembahan di Roof Lounge, Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara.

Marinatasha Isnariah Mustapar, 33, yang sepatutnya menyanyi bersama band Rufus dimalukan dengan diarahkan turun daripada pentas utama ketika majlis Makan Malam Tahunan CASTMET 2014 iaitu sebuah syarikat pemaju hartanah yang berpusat di Plaza Damas, Sri Hartamas.

“Saya rasa sangat malu kerana sudah bersiap sedia mengambil tempat di atas pentas dengan mikrofon. Saya terpaksa mengemaskan buku nota lirik dan membawa turun bersama note stand,” jelas Marina yang kecewa diaibkan di hadapan lebih kurang seratus tetamu pada insiden jam 8.00 malam tadi.

Arahan berbaur perkauman tersebut dikeluarkan oleh Pengarah Kewangan CASTMET, Shannon Yong. Menurut Marina lagi, Shahnon ada menemuinya sebelum acara berlangsung dengan meminta dia mencari penyanyi ganti yang tidak bertudung untuk menjayakan persembahan tersebut.

“Semasa saya mengadakan latihan bersama pemuzik di studio Plaza Damas pada 16 Januari lalu, wakil CASTMET ada bersama dan mereka tidak pernah isukan mengenai tudung yang saya pakai. Hanya semasa hari majlis tersebut, Shahnon menimbulkannya atas alasan tidak sesuai, sedangkan ada tetamu yang datang berhijab.”

Artis Akademia Fantasia 8, Zafarina Jamhari atau Farina yang muncul kemudian dalam persembahannya turut bersimpati dengan mengundang Marina untuk naik ke atas pentas bagi menyanyikan dua buah lagu, “Someone Like You” dan “Price Tag”.

“Saya lihat tetamu tiada sebarang masalah dengan penampilan saya berhijab. Malah Pengerusi kumpulan syarikat CASTMET, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor turut meminta saya menyanyi lagu tambahan,” jelas Marina yang kemudian telah dimarahi Shannon setelah selesai persembahan tersebut.

Menurutnya lagi, Shannon kemudian telah memanggilnya di bahagian luar dewan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Marina menyanyi dalam keadaan bertudung. Setelah melepaskan kemarahannya, Shannon meninggalkannya bersama Penolong Pengurus Pembangunan syarikat, Jaharudin Abdul Malek untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Jaharudin ketika dihubungi MySuara pagi tadi mengesahkan kejadian tersebut tetapi enggan mengulas lanjut kerana dia bukan pihak yang berautoriti.

Bekas pelajar Akademi Seni Kebangsaan dalam bidang muzik dan vokal yang pertama kali menjadi mangsa rasis dan diskriminasi perkauman setelah 12 tahun bergiat dalam industri tersebut menyifatkan tindakan penganjur sebagai satu penghinaan terhadap agama dan kepercayaannya sebagai seorang Muslim.


“Kita berada di Malaysia bukan Amerika Syarikat. Malah Amerika Syarikat pun sudah menerima penyanyi Malaysia berhijab seperti Yuna. Apa masalah kita di Malaysia? Yang menyanyi mulut saya bukan tudung saya!” tegas Marina yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentul pada jam 2.40 pagi tadi selepas pulang dari majlis tersebut. - MySuara.net

No comments:

Post a Comment