Kereta mangsa dikeluarkan dari curam. gambar kecil : Nurzati yang hamil tujuh bulan dan Mohd Rizwan bersyukur kerana terselamat selepas kereta yang mereka naiki terjunam ke dalam cerun dekat Bandar Seri Bandi, pagi semalam.
KEMAMAN – “Semasa kereta melayang ke dalam cerun sedalam lima meter, saya hanya fikir kami berdua sudah berdepan dengan ajal dan anak sulung dalam kandungan isteri akan keguguran.
Demikian kata pekerja kilang batu kapur, Mohd Rizwan Muda, 27, yang terselamat bersama isterinya yang sarat mengandung tujuh bulan selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam cerun kira-kira jam 7 pagi semalam.
Mohd Rizwan dan isterinya, Nurzati Akmal Roslan, 19, hanya mengalami kecederaan ringan dalam nahas di Kilometer 19 Jalan Seri Bandi-Padang Kubu dekat Bandar Seri Bandi.
Mohd Rizwan berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari rumah bapanya di Kerteh dan mahu ke tempat kerjanya di Bukit Sagu, Kuantan.
Namun, setibanya di tempat kejadian dia cuba mengelak sebuah bas sekolah yang datang dari arah bertentangan menyebabkan kereta dipandunya terbabas.
“Keadaan bahu jalan yang dibasahi embun dan licin menyebabkan saya hilang kawalan lalu kereta melayang ke dalam cerun. Waktu itu saya memandu dalam kelajuan sekitar 80 kilometer sejam.
“Nasib baik pokok resang tebal di tepi jalan, jadi ia memperlahankan kelajuan kereta saya menyebabkan saya dan isteri tidak mengalami kecederaan parah dan terselamat dari maut,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu Nurzati berkata, dia dan suaminya merangkak naik ke atas jalan selepas keluar dari kereta yang terperosok dalam rimbunan pokok resang.
“Ketika kereta dipandu suaminya meluncur ke dalam cerun, saya sempat mengucap dua kalimah syahadah.
“Saya juga seperti suami, kami bayangkan itu pengakhiran hayat kami namun, syukurlah kami berdua selamat terutama sekali anak dalam kandungan saya,” katanya yang masih kelihatan terkejut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Hitam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment