Thursday, 23 January 2014

Ibu tak sangka bayi 10 bulan meninggal di rumah pengasuh

Norzilawati menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Irsyad di rumahnya di Putrajaya, semalam.
Ibu tak sangka bayi 10 bulan temui ajal di rumah pengasuh

Putrajaya: Seorang ibu tidak menyangka pelukan erat anak bongsunya sebelum dihantar untuk asuhan pagi kelmarin, menjadi petanda bayi berusia 10 bulan itu akan meninggal dunia di rumah pengasuh.

Ibu bayi berkenaan, Norzilawati Ahmad Atik, 35, yang juga kakitangan kerajaan mengakui Muhammad Irsyad Alizan Mohd Yazid memang manja tetapi pelukan bayinya pagi kelmarin, dirasakan luar biasa kerana lebih erat.

“Awal pagi kelmarin, Irsyad yang sudah dipakaikan stokin merapati saya mahu didukung ketika hendak dihantar ke rumah pengasuhnya.

“Dia peluk saya dengan kuat. Saya sempat berkata padanya kenapa manja sangat ni dan dia terus peluk erat tanpa menyangka itulah petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.


Beri bantuan pernafasan

Irsyad yang juga anak ketiga itu, disedari meninggal dunia ketika pengasuhnya cuba membangunkan bayi terbabit jam 10 pagi untuk diberi makan.
Pengasuh yang pernah bekerja di TASKA selama lima tahun, cuba memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR) apabila tidak dapat membangunkan Irsyad, namun tidak berhasil.

Norlizawati berkata, pada hari kejadian beliau dan suami, Mohd Yazid Hamzah, 39, menghantar bayi itu untuk asuhan jam 7.30 pagi sebelum pengasuh terbabit menelefon sambil menangis teresak-esak.

Katanya, kejadian itu mencetuskan rasa curiga kerana selama ini pengasuh bayinya tidak pernah menelefon beliau, tetapi sebaliknya hanya berbalas pesanan.

“Saya bergegas ke rumah pengasuh dan ketika itu dapat melihat mata Irsyad masih berkelip-kelip ketika dikejarkan ke Hospital Putrajaya (HPj) bersama pengasuh serta suaminya. Malah doktor turut menyatakan bayi berpeluang diselamatkan.

“Namun, hati saya sukar menerima kenyataan apabila doktor mengesahkan Irsyad meninggal dunia jam 11.15 pagi. Tidak sangka cerita yang kerap dibaca dalam akhbar, turut menimpa saya,” katanya.


Punca kematian disiasat

Beliau berkata, punca kematian Irsyad belum diketahui kerana hasil bedah siasat hanya akan diperoleh empat bulan lagi tetapi doktor memaklumkan ia tiada kaitan dengan tersedak susu atau terjatuh.

Katanya, beliau tidak menyalahkan pengasuh terbabit, sebaliknya menganggap kematian bayinya yang sudah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini selepas solat Maghrib kelmarin, sebagai takdir. -Berita Harian

No comments:

Post a Comment